Pengalaman mendaki Gunung Angsi, Kuala Pilah semalam masih segar dalam kepala hari ini. Bahagianya bukan kepalang, jauh daripada sesakan manusia yang asyik mendesak dan segala gajet. Semalam juga semasa dalam perjalanan menuruni gunung, salah seorang teman mendaki sempat bertanya, "Kenapa kau mendaki?". Katanya lagi, ada yang mendaki kerana benar-benar ingin menikmati ciptaan Tuhan. Ada yang mendaki semata-mata untuk mengambil gambar. Manusia itu bermacam ragamnya.
Pada pemikiran aku pula, aku ada sebab-sebab kenapa ada masanya aku akan tiba-tiba teringin sangat mendaki.
1. Cabar diri sendiri
Aku ni sejenis manusia yang suka mencipta alasan kalau aku takut nak menghadapi masalah. Kalau juga aku dipaksa untuk melakukan perkara tersebut, kemudian tidak mencapai skala yang sepatunya, pasti aku akan menuding jari kepada selain daripada diri aku sendiri. Kalau masa aku decide nak mendaki gunung atau bukit tu, maksudnya aku dah bosan dengan perangai aku yang tak patut ni. Jadi, aku mendaki untuk mencabar diri aku sendiri. Setiap kali nampak aras tanah yang mencanak nak mampus depan mata, pasti aku akan persoalkan kepada diri sendiri,
"Apa kau nak buat sekarang yui? Kau nak teruskan atau patah balik ke belakang?"
Keputusan terletak di tangan aku dan setakat ini, alhamdulillah aku tak pernah berpatah semula.
2. Lemas dengan manusia
Aku ni seorang anak perempuan dalam keluarga yang tak terurus dari segala macam sudut. Setiap kali aku cuti semester, pasti kerja aku adalah menjaga rumah 24/7 bagaikan suri rumah. Disuruh itu, disuruh ini oleh ahli keluarga sendiri. Aku juga seorang kawan yang selalu mengiyakan kata-kata kawan-kawan aku.
Sebelum aku mengikuti aktiviti memanjat gunung ni, kau bayangkanlah betapa semak dan bosannya hidup aku yang dibentuk mengikut kemahuan manusia yang lain selain diri aku sendiri. Even masa aku decide nak naik gunung angsi ni pun, aku dapat banyak penentangan daripada ahli keluarga aku sendiri terutamanya wan dan atuk aku. Paling aku tak boleh terima bila atuk aku tanya sehari sebelum aku mendaki,
"Buek apolah nak panjek gunung tu, takdo paedah eh! Caghik ponyakit yo!"
Allahu, sakitnya hati dengar tapi aku diamkan sahaja dan masih teruskan rancangan keesokan harinya.
Ada lagi satu cerita perihal seorang kawan aku yang aku anggap sahabat. Bila diajak untuk mendaki bersama, macam-macam alasan yang dia cipta dan kemudian mengusulkan cadangan lain. Mulalah tu, hendak menyusun kehidupan aku. Maaflah, kawan. Mungkin aku seperti dahulu dimarah, diperli, dibuli tetapi masih mendiamkan diri tapi sedikitnya aku berubah sekarang, hidup aku biar aku yang tentukan apa aku nak dan kalau aku diam maksudnya aku tak mahu, aku lemas dan aku meluat dengan perangai manusia sejenis engkau!
Dan Tuhan izinkan aku naik dan turun Gunung Angsi dengan selamat untuk jauh dan aman daripada manusia yang mengatur hidup aku selama ini. *Pejam mata, tarik nafas sedalamnya.*
3. Lain dari yang lain
Adik-beradik aku semua lelaki, tapi tak ada seorang pun yang minat ragbi ataupun aktiviti lasak yang lain, macam aku. Jadi, ada masanya aku bangga kerana aku satu-satunya anak mama yang pernah mendaki gunung setakat ni. Walaupun ada masa mama akan kata yang adik-beradik lain aku pun tak buat aktiviti macam aku suka buat ni. Aku masih bangga.
Manusia, tiap kali aku mendaki, aku akan puas bila berada di puncak. Begitu susah payah aku menghadap turun naik gunung -ganang yang pernah aku daki, mengajar aku betapa susahnya nak mencapai apa yang aku nak dalam hidup ni. Walau banyak mana pun aku merungut, selagi aku melangkah ke depan dan percaya pada diri sendiri, Tuhan pasti izinkan aku untuk menang. Banyak pengajaran bila kita mendaki ni, aku tak ceritakan lagi pasal teamwork. Setiap pengajaran tu pula mesti berlain setiap kali kau mendaki gunung yang berlainan. Percayalah cakap aku.
So, apa ditunggu lagi? Pack your things and start hiking, guys! Kemudian sepanjang perjalanan tu, persoalkan diri kau sendiri,
"Kenapa aku mendaki?"